MORBID ANGEL Live in Singapore 2011..
DALAM persada muzik death metal peringkat antarabangsa, nama kumpulan
Morbid Angel tidak perlu diperkenalkan lagi. Ini kerana, kumpulan yang
ditubuhkan di Florida, Amerika Syarikat pada tahun 1984 ini telah
menghasilkan sembilan album.
Dengan album yang mencecah jualan jutaan unit di seluruh dunia,
Morbid Angel juga banyak mencipta nama menerusi konsert yang diadakan di
seluruh dunia sejak kumpulan itu ditubuhkan 27 tahun lalu.
Terbaru, kumpulan yang dianggotai oleh David Vincent (penyanyi,
bassis), Trey Azagthoth (gitaris), Tim Yeung (dram) dan Destructhor
(gitaris) itu akan mengadakan konsert di Singapura pada 25 Mei ini.
Konsert sulung mereka di rantau Asia Tenggara anjuran Cynical Sounds
itu, Morbid Angel akan beraksi di D Marque, Down Town East, Pasir Ris,
Singapura kira-kira dua jam tanpa henti.
Menurut pemilik Cynical Sounds, Yazeed Duana, 35, beliau mengambil
masa hampir setahun bagi mendapatkan tarikh yang sesuai untuk membawa
kumpulan pemuzik bingit itu bagi mengadakan persembahan di republik
tersebut.
Morbid Angel adalah sebuah kumpulan death metal yang aktif di mana
mereka banyak mengadakan siri konsert bergerak di seluruh dunia. Mereka
semakin sibuk sejak kemunculan album terbaru yang berjudul Illud Divium
Insanus tahun lalu.
Selain Singapura, mereka juga mengadakan konsert bergerak di
negara-negara lain seperti Australia, Sweden, Jerman, Perancis, Denmark,
Poland dan United Kingdom (UK).
Menariknya, konsert Morbid Angel ini bukan sahaja yang pertama
diadakan di Singapura tetapi juga di Asia Tenggara, katanya kepada Hits
sewaktu dihubungi di Singapura baru-baru ini.
Bukan setakat kesukaran mendapatkan tarikh yang sesuai tetapi jelas
Yazeed, pihaknya juga terpaksa mengeluarkan kos melebihi S$50,000
(RM110,000) bagi membawa kumpulan ternama itu menghiburkan para peminat
di rantau ini.
Sehubungan itu, pihaknya juga tiada pilihan selain mengenakan tiket
berharga S$79 dolar (RM173) dan S$100 dolar (RM220) bagi menampung kos
tersebut.
Disebabkan kos penganjuran konsert yang tinggi, kami juga tidak
dapat menyediakan tempat yang besar di mana D Marque hanya mampu
menampung sekitar 2,000 penonton sahaja. Ini bermakna ia terhad dan
untuk para peminat setia kumpulan ini sahaja.
Selain peminat di Singapura, ramai juga peminat Morbid Angel dari
Malaysia, Indonesia, Filipina, Jepun, India dan Thailand akan datang
menyaksikan konsert tersebut.
Apatah lagi, sebelum berkunjung ke Singapura, konsert mereka yang
sepatutnya diadakan di Tokyo, Jepun telah dibatalkan kerana sebab-sebab
yang tidak dapat dielakkan, jelasnya.
Selepas mengadakan konsert di Singapura, Morbid Angel akan meneruskan
persembahan mereka ke Melbourne dan Sydney, Australia, masing-masing
pada 27 dan 28 Mei ini.
Kata Yazeed, selain menyanyikan lagu-lagu daripada album Illud Divium
Insanus terbitan syarikat rakaman Perancis, Season of Mist, kumpulan
itu juga dijangkakan akan membawakan lagu-lagu daripada album-album lama
mereka.
Sepanjang hampir tiga dekad ditubuhkan Morbid Angel turut pernah
menghasilkan album berjudul Altar of Madness, Blessed Are The Sick,
Covenant, Domination, Entangled In Chaos, Formulas Fatal To The Flesh,
Gateways To Annihilation dan Heretic.
Selain itu, mereka juga akan menjual barangan cenderahati seperti
kemeja-T yang dibawakan khas dari Amerika Syarikat dalam edisi terhad di
mana setiap sehelai dijual dengan harga S$40 dolar (RM88).
Jika keadaan mengizinkan, para peminat juga berpeluang bergambar dan
mendapatkan tandatangan mereka selepas konsert itu. Saya harap para
peminat tidak melepaskan peluang itu kerana sehingga kini lebih 1,000
tiket konsert itu sudahpun habis dijual, tuturnya.
Beliau yakin jumlah penonton akan bertambah pada saat-saat akhir
berdasarkan lebih sembilan konsert yang pernah dianjurkan oleh Cynical
Sounds sejak lima tahun lalu di mana kali terakhir ialah konsert
kumpulan Marduk dari Sweden pada tahun lalu.
Apatah lagi ujarnya, promosi konsert itu turut diadakan sejak lebih
tiga bulan lalu termasuklah menerusi laman sosial facebook dan
kunjungannya ke beberapa negara Asia Tenggara seperti Malaysia.
Biasalah para peminat terutamanya dari luar Singapura akan membeli
tiket di saat-saat akhir. Mungkin ia membabitkan kos yang tinggi
termasuklah tiket penerbangan dan hotel semata-mata bagi menyaksikan
konsert tersebut, katanya lagi.
gempak bro.. Trey Azagthoth
ReplyDelete