Thursday, 30 January 2014

Kenangan konsert DESTRUCTION di Singapore pada 2011..

KUMPULAN Destruction mula terbabit dalam persada muzik di peringkat antarabangsa apabila mereka menghasilkan album mini pertama berjudul Sentence of Death pada 1984.

Sejak saat itu, trio berasal dari Weil Am Rhein, Jerman ini yang ditubuhkan pada 1982 bukan sahaja mempunyai ramai peminat di Eropah, Amerika Syarikat tetapi juga rantau Asia Tenggara.

Bukan setakat para peminat, malah kumpulan yang mengetengahkan muzik thrash metal ini juga menanti-nantikan saat yang sesuai untuk mengadakan konsert di rantau ini.

“Kami tidak menyangka selepas 29 tahun Destruction ditubuhkan baru sekarang kami berpeluang mengadakan konsert di tempat anda. Kami amat gembira dengan kunjungan yang bermakna ini.

“Saya dapat tahu ramai peminat kami dari Malaysia, Thailand dan Filipina datang di konsert ini,” kata vokalis Destruction, Schmier pada konsert kumpulannya itu di Singapura, baru-baru ini.

Konsert Destruction Live In Singapore itu merupakan yang pertama diadakan di Asia Tenggara di mana dua hari selepas itu mereka meneruskan persembahan di Jakarta, Indonesia.

Pada konsert anjuran Cynical Sounds yang mengenakan tiket S$55 (RM132), S$69 (RM165) dan S$90 (RM216) itu Destruction memperlihatkan aksi-aksi hebat.

Trio yang dianggotai oleh Schmier selaku vokalis dan bassis, Mike (gitaris) serta Wawrzyniec (dram) itu tampil bertenaga pada konsert yang mengambil masa hampir 90 minit tanpa henti itu.

Mike dan Schmier yang merupakan anggota asal Destruction tampil dengan 16 lagu lama dan baru mereka ternyata berjaya mengubat penantian para peminat selama 29 tahun lamanya.

Konsert yang diadakan di The Pavillion, Far East Square, China Street, Singapura itu mula riuh dengan jerit pekik 350 peminat yang seolah-olah tidak sabar dengan kemunculan mereka.

Destruction tampil di pentas pada pukul 9 malam dengan membawakan lagu berjudul Curse yang dipetik daripada album Eternal Devastation (1986) yang dimulakan dengan sebuah intro.

Memandangkan itu adalah konsert sulung mereka di Asia Tenggara, maka kebanyakan lagu yang disampaikan pada malam itu terdiri daripada lagu-lagu lama yang masih diminati ramai.

Antaranya berjudul Mad Butcher, Eternal Ban, Life Without Sense, Death Trap, Bestial Invasion, Total Desaster dan Thrash ‘till Death yang berjaya mengimbau memori para peminat.

Kebanyakan lagu itu dipetik daripada album klasik Destruction antaranya bertajuk Release From Agony (1988), Mad Butcher (1987) dan Cracked Brain (1990) yang masih dijual sehingga ke hari ini.

Namun, Destruction tidak lupa menyampaikan lagu-lagu yang dipetik daripada album terbaru mereka iaitu Day of Reckoning yang diterbitkan awal tahun ini.

Lagu-lagu baru yang dibawakan antaranya berjudul Armagedonizer, Hate Is My Fuel, Tears of Blood, D.E.V.O.L.U.T.I.O.N. serta Nailed To The Cross.

Schmier atau nama sebenarnya Marcel Schirmer berkata, dia tidak menyangka para peminat di rantau ini masih meminati Destruction biarpun banyak kumpulan baru muncul.

“Saya juga begitu teruja kerana anda masih mengingati lagu-lagu kami dan menyanyikannya bersama-sama saya.

“Oleh kerana sambutan ini, kami bercadang mahu datang ke sini lagi tetapi bersama dua lagi kumpulan thrash metal Jerman iaitu Kreator dan Sodom,” ujarnya dengan penuh semangat.

Destruction yang telah menghasilkan 11 album penuh, empat album mini dan tiga album yang dirakamkan daripada konsert mereka boleh dikategorikan sebagai pemuzik legenda.

Ini kerana, Destruction yang asalnya dikenali sebagai Knight of Demon telah mengadakan banyak siri konsert jelajah dunia sehingga ke Amerika Utara pada awal tahun ini.

Malah, konsert mereka pada Wacken Open Air Festival di Hamburg, Jerman pada 2007 telah disaksikan hampir 80,000 peminat muzik metal yang datangnya dari seluruh pelusuk dunia.

Ternyata konsert Destruction di Pulau Temasek itu memberi kepuasan kerana lagu-lagu yang mereka nyanyikan adalah yang menjadi kegemaran para peminat sejak dari dulu hingga kini.

ends..

No comments:

Post a Comment