GRAVE Live in Singapore 2008 !
RAMAI pemuzik metal terutamanya dari Scandinavia menjadikan
negara-negara Asia Tenggara terutamanya Indonesia dan Malaysia sebagai
tempat persinggahan dalam siri konsert bergerak mereka di seluruh dunia
sejak kebelakangan ini.
Kumpulan death metal dari Sweden, Grave misalnya, memilih Singapura
sebagai salah satu destinasi konsert bergerak, Soulness Dominion Tour
2008 mereka yang akan diadakan di Republic Cultural Centre, Woodlands,
di republik itu pada 30 November 2008 pukul 6.30 petang.
Menurut gitaris dan vokalis kumpulan itu, Ola Per Mikael Lindgren,
dia dan dua lagi anggota Grave tertarik untuk mengadakan konsert di Asia
Tenggara kerana mereka mahu merasai sendiri kelainan sambutan para
peminat yang berlainan budaya dan bangsa di rantau sebelah sini.
Malah, Grave katanya juga berasa teruja untuk beraksi di depan para
peminat yang telah menyokong mereka sejak 20 tahun lalu, apatah lagi
selepas mendengar cerita positif daripada rakan-rakan mereka yang pernah
melawat Singapura sebelum ini.
Pada 13 Julai 2008 lalu, kawan-kawan senegara kami daripada kumpulan
Disember telah mengadakan persembahan di Singapura di mana sambutan para
peminat terhadap mereka sungguh hebat sekali, katanya yang menubuhkan
Grave 20 tahun lalu di Stockholm, Sweden.
Selain Ola, Grave yang pada mulanya dikenali sebagai Corpse turut
dianggotai oleh Fredrik Nils Isaksson (bassis) dan Ronnie Per Anders
Bergerstahl (dram) sepatutnya dijadualkan mengadakan persembahan di
Kuala Lumpur pada 29 November ini, tetapi dibatalkan atas sebab-sebab
yang tidak dapat dielakkan.
Konsert anjuran Cynical Sounds dari Singapura dan Bleed Records
(Australia) itu dijangka akan dihadiri ramai peminat Grave dari
Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Selepas Singapura, Grave akan meneruskan siri konsert mereka di
Perth (2 Disember), Sydney (4 Disember), Brisbane (5 Disember),
Melbourne (7 Disember), Adelaide, Australia (8 Disember) dan Auckland,
New Zealand (10 Disember).
Tiket untuk menyaksikan konsert Grave itu berharga S$47 dan S$60.
Kumpulan death metal veteran Singapura, Vrykolakas pula akan muncul
sebagai artis pembuka tirai persembahan pada konsert tersebut.
ends
No comments:
Post a Comment