Tuesday, 25 February 2014

UK crustcore, DOOM live in Kuala Lumpur, Malaysia.

Monday, 24 February 2014

Monday, 17 February 2014

Sunday, 16 February 2014


 

SOULFLY Live in Malaysia 2012..

DUNIA muzik di Malaysia semakin meriah sejak akhir-akhir ini. Sebabnya, banyak kumpulan pemuzik dariluar negara yang mengadakan konsert termasuklah yang berskala besar daripada pelbagai genre muzik seperti pop sehinggalah metal yang menggegarkan gegendang telinga.

Misalnya pada festival yang turut membariskan ramai pemuzik tempatan yang diadakan pada sepanjang tahun terutama sejak 10 tahun lalu. Trend penganjuran pelbagai festival semakin popular di kalangan penganjur kerana perkembangan dunia muzik semasa.

Antaranya festival Rock The World yang telah lebih 10 kali dianjurkan di sekitar Kuala Lumpur. Ini antara festival yang menampilkan banyak pemuzik indie tempatan dan juga antarabangsa. Terbaru ialah festival Rockaway di Sepang, Selangor pada 20 Oktober ini.

Pada festival kali ketiga itu, antara kumpulan terkenal dari luar negara yang akan mengadakan persembahan ialah Soulfly, MXPX, Unearth dan Set Your Goal selain lebih 10 lagi kumpulan rock tempatan dengan tiket-tiket berharga daripada RM138 dan RM178.

Pada tarikh yang sama, turut dianjurkan Malaysia Rock Fest 2012 yang bakal berlangsung di Bukit Kiara, Kuala Lumpur dengan membariskan kumpulan Rusty Blade, Lefthanded, Wings, MAY dan XPDC. Festival dari pukul 6 petang hingga 12 malam itu mengenakan tiket berharga RM88.

Itu tidak termasuk genre-genre muzik lain seperti reggae yang juga tidak mahu ketinggalan. Pada 25 Ogos lalu misalnya, One Love Reggae Festival telah diadakan buat kali kedua di Petaling Jaya dengan menampilkan lebih 20 kumpulan reggae tempatan dan antarabangsa yang berlangsung selama 12 jam tanpa henti.

Pendek kata negara ini memang meriah dengan penganjuran pelbagai festival seperti itu. Kemeriahan paling ketara apabila semakin ramai pemuzik luar negara yang muncul pada festival-festival itu telah menjadi daya penarik buat para peminat tempatan.

Secara tidak langsung, ia boleh menjadikan Malaysia sebagai salah satu tempat persinggahan banyak penyanyi dan pemuzik antarabangsa yang kebanyakannya dalam rangka konsert bergerak di rantau Asia Pasifik terutamanya di Australia, New Zealand, Indonesia dan Singapura.

Namun, kemunculan festival-festival itu pula dilihat seakan-akan tidak boleh pergi jauh. Malah, ada juga yang kata festival yang ada kebanyakannya setakat bertaraf festival kampung sahaja. Paling sedih apabila ia macam iklan biskut kering di televisyen yang sekejap ada dan sekejap hilang.

Festival-festival yang dianjurkan itu sepatutnya perlu konsisten daripada segi penganjurannya pada setiap tahun. Pada masa sama, ia juga sepatutnya boleh dijadikan satu jenama yang semakin popular dan membesar seperti gergasi dari setahun ke setahun penganjurannya.

Penganjuran festival yang secara konsisten bukan sahaja akan memberi kepercayaan kepada para peminat tetapi juga para penyanyi dan pemuzik dari luar negara untuk menyertai sesebuah festival itu. Penjenamaan sesebuah festival juga akan memberi imej yang baik untuk negara ini.

Negara tentunya akan mendapat banyak pendedahan daripada segi penganjuran festival dan teknologi-teknologi dalam bidang muzik yang turut di bawa masuk ke negara ini. Selain itu, negara juga mendapat banyak publisiti atas kunjungan ramai artis antarabangsa.

Pendekatan itu telah lama dilakukan oleh negara jiran, Singapura yang menjadi tumpuan utama ramai artis antarabangsa di rantau Asia Tenggara. Sokongan kerajaan negara itu banyak melonjakkan promosi sektor pelancongannya di luar negara dengan penganjuran pelbagai festival.

Selain itu, satu lagi aspek utama penganjuran festival di sini agar pihak penganjur tidak syok sendiri dalam mengetengahkan artis sama ada tempatan atau dari luar negara. Ada di kalangan artis yang ditampilkan lebih menjadi kegemaran peribadi pihak penganjur berbanding para peminat.

Pelbagai usaha boleh dilakukan, contohnya dengan mengadakan undian atau kaji selidik di laman sosial seperti Facebook bagi mengenal pasti penyanyi atau pemuzik mana yang menjadi pilihan ramai untuk diketengahkan pada masa depan.

Tanpa adanya perkiraan-perkiraan seperti itu, festival yang dianjurkan di negara ini tidak akan pergi ke mana. Festival-festival seperti itu juga hanya bersifat popular sementara. Malah, jauh sekali untuk mengangkat identiti dan nama negara di mata dunia.

Justeru, lebih baik menganjurkan festival seperti Rainforest Music Festival yang diadakan di Santubong, Sarawak. Meskipun tidak popular dalam persada muzik arus perdana, tetapi festival berteraskan muzik etnik tersebut sudah lama popular sehingga ke peringkat dunia kerana keunikan dan konsisten penganjurannya sejak lebih 10 tahun yang lalu.

ends/

Wednesday, 12 February 2014


DIRTY ROTTEN IMBECILES (D.R.I.) Live in Hammersonic Festival, Jakarta, INDONESIA 2012.

Monday, 10 February 2014

POE of Rampa (Rambut Panjang) 2013, Ampang Point.

Thursday, 6 February 2014

Maharaja Lawak Mega Astro Warna - Dewan Wawasan, Jitra, Kedah 24/1/2014

Tuesday, 4 February 2014



With Travis Clark of WE THE KINGS - June 2012, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, MALAYSIA.

JARANG berlaku artis berkumpulan antarabangsa yang datang ke negara ini dan mengadakan konsert cuma selama 30 minit. Sesuatu yang mengejutkan juga apabila kumpulan yang menjadi artis pembuka tirai pula mengadakan persembahan lebih lama.

Namun, itulah yang berlaku sewaktu kumpulan pop punk, We The Kings mengadakan persembahan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini. Kumpulan dari Bradenton, Florida, Amerika Syarikat (AS) itu mengadakan persembahan selama setengah jam sahaja.

We The Kings yang dianggotai oleh Travis Clark selaku penyanyi dan gitaris, Hunter Thomsen (gitar), Danny Duncan (dram), Charles Trippy (bass) dan Coley O’Toole (piano) muncul di pentas pada pukul 11.40 dan menamatkan persembahan mereka pukul 12.10 malam.

Menurut Travis mereka sengaja memendekkan persembahan pada malam itu bagi memberi peluang para peminat bertemu dengan mereka selepas konsert tersebut. Ternyata We The Kings mengotakan kata-kata mereka biarpun acara itu berlarutan sehingga awal dinihari.

“Kami harap anda semua terhibur dengan lagu-lagu yang kami persembahkan pada malam ini. Apabila persembahan ini dipendekkan maka lebih cepat kami dapat berjumpa anda dengan lebih dekat lagi. Kami ada hadiah untuk anda semua," katanya pada konsert tersebut.

Pada malam itu, We The Kings sepatutnya menyampaikan 13 buah lagu tetapi ia dipendekkan menjadi lapan buah lagu. Kebanyakkan lagu yang dipersembahkan di hadapan kira-kira 500 peminat terdiri daripada lagu-lagu popular kumpulan yang ditubuhkan pada 2005 itu.

Lapan lagu yang disampaikan oleh Travis itu berjudul She Takes Me High, Skyway Avenue, Secret Valentine, We’ll Be A Dream, Heaven Can Wait, Say You Like Me, The Middle dan lagu paling popular mereka, Check Yes Juliet yang dinyanyikan bersama-sama para penonton.

Meskipun cuma sebuah persembahan yang singkat tetapi kebanyakan penonton yang berusia bawah 25 tahun dan berbilang bangsa teruja apabila mereka dilihat menyanyikan hampir kesemua lagu yang dinyanyikan oleh Travis sehingga menenggelamkan vokalnya.

Banyak lagu popular We The Kings seperti Friday Is Forever, What You Do To Me, Kiss Me Last, Every Single Dollar dan All Again For You yang sepatutnya dipersembahkan pada malam itu ditiadakan kerana mereka mahu mengadakan acara sesi bertemu peminat itu.

Pada sesi itu, We The Kings yang pernah dicalonkan menerusi kategori Artis Baru Terbaik pada Anugerah MTV Video pada tahun 2008 memberi kira-kira 20 cakera padat album ketiga mereka berjudul Sunshine State of Mind yang mereka tandatangani kepada peminat bertuah.

Pada masa sama, pentas sunyi sepi selama hampir sejam sebelum We The Kings muncul di atas pentas kerana masalah teknikal. Faktor itu mungkin menjadi salah satu sebab mengapa mereka terpaksa memendekkan durasi persembahan pada malam itu.

Konsert itu turut dijayakan oleh sebuah kumpulan pop punk dari Poughkeepsie, New York, AS yang dikenali sebagai We Are In The Crowd tampil mengadakan persembahan selama hampir sejam dengan membawakan 11 buah lagu popular mereka sebelum kemunculan We The Kings.

Selain dua kumpulan dari AS itu, tiga kumpulan tempatan iaitu Bunkface, Kyoto Protocol dan Oh Chenta Ku menjadi artis jemputan pada konsert anjuran Talent Harvest Agency yang bermula pukul 8 malam dan mengenakan tiket-tiket berharga RM68 dan RM248.

ends

Monday, 3 February 2014


METALLICA - Death Magnetic World Tour 2009 - O2 Arena, London, UK

BIARPUN mencecah usia penghujung 40-an, namun faktor itu tidak menghalang Metallica untuk membuktikan bahawa mereka masih bertenaga di atas pentas persembahan.
Kumpulan thrash metal yang ditubuhkan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 1981 ini tetap ligat dan agresif setiap kali mereka tampil mengadakan konsert walau di mana juga.
Stamina dan gaya persembahan mantap Metallica itu misalnya, dapat dilihat menerusi Konsert World Magnetic Tour 2009 mereka yang berlangsung di O2 Arena Stadium, London, United Kingdom, baru-baru ini.
Menerusi konsert itu, Metallica yang dianggotai oleh James Hetfield, 46, selaku penyanyi dan gitaris, Lars Ulrich, 46, (dram), Kirk Hammett, 47, (gitaris) dan Robert Trujillo, 45, (bassis) tidak menghadapi masalah untuk beraksi selama hampir dua jam tanpa henti.
Untuk siri konsert bergerak jelajah dunia itu, mereka akan menjayakan hampir 100 buah persembahan sebelum ia berakhir di San Jose, California, AS pada 12 Disember ini.
Siri konsert Metallica itu juga diadakan hampir pada setiap hari mulai bulan lalu di banyak negara seperti Perancis, Jerman, Austria, Belanda, Finland, Itali, Belgium, Sepanyol, Switzerland, Denmark, Sweden, Ireland, Norway, Mexico dan AS.
Paling mengejutkan, tiket konsert-konsert Metallica yang akan diadakan di Copenhagen, Denmark pada 20, 22, 23, 27 dan 28 Julai ini habis dijual lebih awal iaitu kira-kira empat bulan sebelum ia diadakan!
Terbukti dengan jadual konsert mereka yang padat, apatah lagi terpaksa menyeberangi sempadan banyak negara, ia seolah-olah sedikit pun tidak memenatkan kudrat dan semangat kumpulan empat anggota ini.
Sebaliknya, sama seperti konsert-konsert Metallica sebelum ini, mereka akan sentiasa bertanya kepada para penonton untuk menyanyikan apa sahaja lagu daripada album-album mereka yang terdahulu.
"Anda mahu lagi? Mahu dengar lagu apa?." Itu antara ungkapan biasa James setiap kali Metallica muncul di pentas termasuklah ketika mereka beraksi di O2 Arena Stadium yang disaksikan oleh hampir 20,000 penonton itu.
Stadium yang terletak di pinggir kota London itu sebenarnya hanya mampu memuatkan sekitar 18,000 penonton, tetapi ia menjadi sesak apabila bahagian tengahnya turut dipenuhi penonton.
Dalam cuaca sejuk yang mencecah suhu 5 darjah celsius ditambah dengan hujan renyai-renyai, ia tidak mematahkan semangat para peminat untuk membanjiri kawasan stadium tersebut.
Bagi para pengumpul barangan rasmi Metallica seperti kemeja-T, baju sejuk, topi, rantai kunci dan seluar pendek berlogokan kumpulan itu ia bagaikan suatu pesta membeli-belah.
Ini kerana, ramai yang berebut-rebut mahu mendapatkan barangan tersebut yang dijual di luar kawasan stadium dan kebanyakannya diedarkan dalam bentuk edisi terhad.
Sebagai contohnya, sehelai kemeja-T Metallica yang memaparkan gambar kulit album Death Magnetic di depan dan tour dates di belakang dijual dengan harga 20 pound sterling (RM106).
Seperti sudah menjadi kegemaran Metallica, kumpulan ini sering muncul dengan pentas yang direka dan diletakkan di bahagian tengah stadium berbentuk empat penjuru.
Set pentas kecil dram yang menempatkan posisi Lars Ulrich itu pula direka bentuk mudah alih dan boleh dipusingkan dalam pusingan 360 darjah bagi membolehkan para penonton menatapnya dari semua arah.
Persembahan bertenaga Metallica itu juga dapat dilihat apabila James, Kirk dan Robert tidak hanya statik berdiri beraksi bermain gitar sambil menyanyi pada satu-satu sudut pentas sahaja.
Tiga anggota kumpulan ini contohnya, sentiasa akan ke hulu ke hilir di setiap sudut pentas agar para penonton dapat melihat persembahan mereka dari jarak yang lebih dekat.
Sistem penataan bunyi dan cahaya yang digunakan oleh Metallica pada konsert itu berteknologi tinggi di mana ia memerlukan beberapa kontena bagi membawa segala peralatan canggih tersebut.
Kecanggihan teknologi itu dapat dilihat apabila sebanyak lapan replika berbentuk keranda gergasi direka bentuk menjadi sebuah set lampu yang menyuluh pergerakan setiap anggota kumpulan terbabit sewaktu mereka sedang beraksi.
World Magnetic Tour 2009 yang dianjurkan sempena kemunculan album terbaru mereka berjudul Death Magnetic menggambarkan bahawa Metallica tetap bertenaga sama seperti di awal penubuhan kumpulan itu 28 tahun lalu.
Death Magnetic yang diterbitkan pada tahun lalu itu dikatakan mempunyai energi yang hampir sama tahap dentuman keras muziknya dengan empat album terawal Metallica sebelum ini.
Empat album berjudul Kill 'Em All, Ride The Lightning, Master of Puppets dan ...And Justice For All itu dikatakan sebagai album terbaik yang pernah mereka hasilkan.
Pada konsert itu, Metallica tetap bertenaga meskipun membawakan lagu-lagu yang boleh dikatakan lebih berat berbanding lagu-lagu yang terdapat dalam album Death Magnetic.
Sebagai contohnya, James tetap unggul menyanyikan lagu-lagu berjudul Master of Puppets daripada album Master of Puppets yang dirakamkan di Denmark pada tahun 1986.
Meskipun sudah 23 tahun berlalu, tetapi Metallica masih mampu menyampaikan lagu itu dengan baik dan bertenaga sama seperti persembahan mereka dua dekad yang lalu.
Mega yang diundang menyaksikan konsert tajaan bersama AirAsia X dan Universal Music Malaysia dengan tiket konsert berharga 45 pound sterling (RM238) itu dapat melihat keterujaan Metallica serta para peminat mereka.
Hampir separuh daripada penonton yang menyaksikan konsert itu merupakan peminat Metallica yang berusia 30 tahun ke atas.
Mereka kelihatan tidak segan silu mengangguk-anggukkan kepala ketika menghayati irama lagu-lagu berentak berat yang dipersembahkan.
Bukan setakat peminat di London, malah dua wakil media yang dibawa dari Kuala Lumpur juga amat teruja ketika menyaksikan konsert tersebut.
Paling mengujakan apabila empat anggota kumpulan itu sempat meluangkan masa bertanya khabar, berbual-bual dengan kami sambil bergambar serta menurunkan tandatangan mereka pada kulit album Death Magnetic.
James Hetfield yang ditemui di belakang pentas sebelum konsert itu bermula membayangkan akan singgah di negara-negara Asia Tenggara untuk konsert bergerak World Magnetic Tour yang seterusnya.
"Tunggulah sahaja kemunculan kami untuk konsert bergerak seterusnya di Asia pada tahun depan. Siapa tahu, mungkin kami juga akan singgah di Malaysia," ujarnya.
Sebagai rekod, kali terakhir Metallica singgah di Asia Tenggara ialah pada 1991 sempena promosi album Metallica di mana ketika itu mereka sempat mengadakan konsert di Singapura dan Jakarta, Indonesia.
Kumpulan yang sudah boleh dianggap legenda dalam persada muzik thrash metal peringkat antarabangsa ini mempunyai peminat yang bukan kepalang walau di mana-mana juga.
Hakikat itu dapat dilihat apabila album Death Magnetic yang mula dipasarkan tahun lalu oleh Universal Music berjaya dijual lebih 20,000 unit di negara ini.
Persembahan Metallica pada malam itu dimulakan dengan membawakan lagu-lagu terbaru mereka yang berjudul That Was Just Your Life dan The End of the Line.
Metallica seakan-akan faham bahawa lagu-lagu lama mereka tidak pernah jemu didengar dan ia juga mampu menceriakan setiap konsert yang mereka jayakan di seluruh dunia.
Sebab itu, tidak hairanlah mereka kemudiannya menyambung persembahan dengan lagu berjudul Harvester of Sorrow, ...And Justice For All dan sebuah lagu perlahan berjudul One yang dipetik daripada album ...And Justice For All.
Para peminat terutamanya peminat lama Metallica juga terpegun apabila mereka tampil mempersembahkan lagu-lagu lama seperti Fight Fire With Fire yang diambil daripada album Ride The Lightning dan Master of Puppets (Master of Puppets).
Lagu-lagu lain yang turut dipersembahkan pada malam itu berjudul Broken Beat and Scarred, My Apocalypse, The Outlaw True, The Judas Kiss, The Day That Never Comes dan Overkill.
Mereka terus mengimbau nostalgia para peminat lama menerusi lagu berjudul Nothing Else Matters dan Enter Sandman yang dipetik daripada album Metallica.
Selain Metallica, kumpulan Machine Head dan The Swords telah diundang sebagai kumpulan pembuka tirai persembahan pada malam itu.
Persembahan mereka diakhiri dengan lagu berjudul Hit The Light dan Seek And Destroy yang dipetik daripada album Kill 'Em All sambil dinyanyikan bersama-sama oleh para penonton.
Puluhan belon besar berwarna hitam berlogokan Metallica yang digugurkan dari atas pentas merupakan kemuncak konsert itu yang ternyata memberi senyuman kepuasan kepada para peminat setia mereka.

ends




BACK STAGE. During METALLICA - Death Magnetic World Tour 2009 (At O2 Arena Stadium, London, UK Feb. 2009)..

Metal Market.. WACKEN OPEN AIR FESTIVAL, Hamburg, Germany - August 2010.

Sunday, 2 February 2014

GRAVE Live in Singapore 2008 !

RAMAI pemuzik metal terutamanya dari Scandinavia menjadikan negara-negara Asia Tenggara terutamanya Indonesia dan Malaysia sebagai tempat persinggahan dalam siri konsert bergerak mereka di seluruh dunia sejak kebelakangan ini.

Kumpulan death metal dari Sweden, Grave misalnya, memilih Singapura sebagai salah satu destinasi konsert bergerak, Soulness Dominion Tour 2008 mereka yang akan diadakan di Republic Cultural Centre, Woodlands, di republik itu pada 30 November 2008 pukul 6.30 petang.

Menurut gitaris dan vokalis kumpulan itu, Ola Per Mikael Lindgren, dia dan dua lagi anggota Grave tertarik untuk mengadakan konsert di Asia Tenggara kerana mereka mahu merasai sendiri kelainan sambutan para peminat yang berlainan budaya dan bangsa di rantau sebelah sini.

Malah, Grave katanya juga berasa teruja untuk beraksi di depan para peminat yang telah menyokong mereka sejak 20 tahun lalu, apatah lagi selepas mendengar cerita positif daripada rakan-rakan mereka yang pernah melawat Singapura sebelum ini.

“Pada 13 Julai 2008 lalu, kawan-kawan senegara kami daripada kumpulan Disember telah mengadakan persembahan di Singapura di mana sambutan para peminat terhadap mereka sungguh hebat sekali,” katanya yang menubuhkan Grave 20 tahun lalu di Stockholm, Sweden.

Selain Ola, Grave yang pada mulanya dikenali sebagai Corpse turut dianggotai oleh Fredrik Nils Isaksson (bassis) dan Ronnie Per Anders Bergerstahl (dram) sepatutnya dijadualkan mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada 29 November ini, tetapi dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Konsert anjuran Cynical Sounds dari Singapura dan Bleed Records (Australia) itu dijangka akan dihadiri ramai peminat Grave dari Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Selepas Singapura, Grave akan meneruskan siri konsert mereka di Perth (2 Disember), Sydney (4 Disember), Brisbane (5 Disember), Melbourne (7 Disember), Adelaide, Australia (8 Disember) dan Auckland, New Zealand (10 Disember).

Tiket untuk menyaksikan konsert Grave itu berharga S$47 dan S$60. Kumpulan death metal veteran Singapura, Vrykolakas pula akan muncul sebagai artis pembuka tirai persembahan pada konsert tersebut.

ends