Monday, 3 February 2014


METALLICA - Death Magnetic World Tour 2009 - O2 Arena, London, UK

BIARPUN mencecah usia penghujung 40-an, namun faktor itu tidak menghalang Metallica untuk membuktikan bahawa mereka masih bertenaga di atas pentas persembahan.
Kumpulan thrash metal yang ditubuhkan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 1981 ini tetap ligat dan agresif setiap kali mereka tampil mengadakan konsert walau di mana juga.
Stamina dan gaya persembahan mantap Metallica itu misalnya, dapat dilihat menerusi Konsert World Magnetic Tour 2009 mereka yang berlangsung di O2 Arena Stadium, London, United Kingdom, baru-baru ini.
Menerusi konsert itu, Metallica yang dianggotai oleh James Hetfield, 46, selaku penyanyi dan gitaris, Lars Ulrich, 46, (dram), Kirk Hammett, 47, (gitaris) dan Robert Trujillo, 45, (bassis) tidak menghadapi masalah untuk beraksi selama hampir dua jam tanpa henti.
Untuk siri konsert bergerak jelajah dunia itu, mereka akan menjayakan hampir 100 buah persembahan sebelum ia berakhir di San Jose, California, AS pada 12 Disember ini.
Siri konsert Metallica itu juga diadakan hampir pada setiap hari mulai bulan lalu di banyak negara seperti Perancis, Jerman, Austria, Belanda, Finland, Itali, Belgium, Sepanyol, Switzerland, Denmark, Sweden, Ireland, Norway, Mexico dan AS.
Paling mengejutkan, tiket konsert-konsert Metallica yang akan diadakan di Copenhagen, Denmark pada 20, 22, 23, 27 dan 28 Julai ini habis dijual lebih awal iaitu kira-kira empat bulan sebelum ia diadakan!
Terbukti dengan jadual konsert mereka yang padat, apatah lagi terpaksa menyeberangi sempadan banyak negara, ia seolah-olah sedikit pun tidak memenatkan kudrat dan semangat kumpulan empat anggota ini.
Sebaliknya, sama seperti konsert-konsert Metallica sebelum ini, mereka akan sentiasa bertanya kepada para penonton untuk menyanyikan apa sahaja lagu daripada album-album mereka yang terdahulu.
"Anda mahu lagi? Mahu dengar lagu apa?." Itu antara ungkapan biasa James setiap kali Metallica muncul di pentas termasuklah ketika mereka beraksi di O2 Arena Stadium yang disaksikan oleh hampir 20,000 penonton itu.
Stadium yang terletak di pinggir kota London itu sebenarnya hanya mampu memuatkan sekitar 18,000 penonton, tetapi ia menjadi sesak apabila bahagian tengahnya turut dipenuhi penonton.
Dalam cuaca sejuk yang mencecah suhu 5 darjah celsius ditambah dengan hujan renyai-renyai, ia tidak mematahkan semangat para peminat untuk membanjiri kawasan stadium tersebut.
Bagi para pengumpul barangan rasmi Metallica seperti kemeja-T, baju sejuk, topi, rantai kunci dan seluar pendek berlogokan kumpulan itu ia bagaikan suatu pesta membeli-belah.
Ini kerana, ramai yang berebut-rebut mahu mendapatkan barangan tersebut yang dijual di luar kawasan stadium dan kebanyakannya diedarkan dalam bentuk edisi terhad.
Sebagai contohnya, sehelai kemeja-T Metallica yang memaparkan gambar kulit album Death Magnetic di depan dan tour dates di belakang dijual dengan harga 20 pound sterling (RM106).
Seperti sudah menjadi kegemaran Metallica, kumpulan ini sering muncul dengan pentas yang direka dan diletakkan di bahagian tengah stadium berbentuk empat penjuru.
Set pentas kecil dram yang menempatkan posisi Lars Ulrich itu pula direka bentuk mudah alih dan boleh dipusingkan dalam pusingan 360 darjah bagi membolehkan para penonton menatapnya dari semua arah.
Persembahan bertenaga Metallica itu juga dapat dilihat apabila James, Kirk dan Robert tidak hanya statik berdiri beraksi bermain gitar sambil menyanyi pada satu-satu sudut pentas sahaja.
Tiga anggota kumpulan ini contohnya, sentiasa akan ke hulu ke hilir di setiap sudut pentas agar para penonton dapat melihat persembahan mereka dari jarak yang lebih dekat.
Sistem penataan bunyi dan cahaya yang digunakan oleh Metallica pada konsert itu berteknologi tinggi di mana ia memerlukan beberapa kontena bagi membawa segala peralatan canggih tersebut.
Kecanggihan teknologi itu dapat dilihat apabila sebanyak lapan replika berbentuk keranda gergasi direka bentuk menjadi sebuah set lampu yang menyuluh pergerakan setiap anggota kumpulan terbabit sewaktu mereka sedang beraksi.
World Magnetic Tour 2009 yang dianjurkan sempena kemunculan album terbaru mereka berjudul Death Magnetic menggambarkan bahawa Metallica tetap bertenaga sama seperti di awal penubuhan kumpulan itu 28 tahun lalu.
Death Magnetic yang diterbitkan pada tahun lalu itu dikatakan mempunyai energi yang hampir sama tahap dentuman keras muziknya dengan empat album terawal Metallica sebelum ini.
Empat album berjudul Kill 'Em All, Ride The Lightning, Master of Puppets dan ...And Justice For All itu dikatakan sebagai album terbaik yang pernah mereka hasilkan.
Pada konsert itu, Metallica tetap bertenaga meskipun membawakan lagu-lagu yang boleh dikatakan lebih berat berbanding lagu-lagu yang terdapat dalam album Death Magnetic.
Sebagai contohnya, James tetap unggul menyanyikan lagu-lagu berjudul Master of Puppets daripada album Master of Puppets yang dirakamkan di Denmark pada tahun 1986.
Meskipun sudah 23 tahun berlalu, tetapi Metallica masih mampu menyampaikan lagu itu dengan baik dan bertenaga sama seperti persembahan mereka dua dekad yang lalu.
Mega yang diundang menyaksikan konsert tajaan bersama AirAsia X dan Universal Music Malaysia dengan tiket konsert berharga 45 pound sterling (RM238) itu dapat melihat keterujaan Metallica serta para peminat mereka.
Hampir separuh daripada penonton yang menyaksikan konsert itu merupakan peminat Metallica yang berusia 30 tahun ke atas.
Mereka kelihatan tidak segan silu mengangguk-anggukkan kepala ketika menghayati irama lagu-lagu berentak berat yang dipersembahkan.
Bukan setakat peminat di London, malah dua wakil media yang dibawa dari Kuala Lumpur juga amat teruja ketika menyaksikan konsert tersebut.
Paling mengujakan apabila empat anggota kumpulan itu sempat meluangkan masa bertanya khabar, berbual-bual dengan kami sambil bergambar serta menurunkan tandatangan mereka pada kulit album Death Magnetic.
James Hetfield yang ditemui di belakang pentas sebelum konsert itu bermula membayangkan akan singgah di negara-negara Asia Tenggara untuk konsert bergerak World Magnetic Tour yang seterusnya.
"Tunggulah sahaja kemunculan kami untuk konsert bergerak seterusnya di Asia pada tahun depan. Siapa tahu, mungkin kami juga akan singgah di Malaysia," ujarnya.
Sebagai rekod, kali terakhir Metallica singgah di Asia Tenggara ialah pada 1991 sempena promosi album Metallica di mana ketika itu mereka sempat mengadakan konsert di Singapura dan Jakarta, Indonesia.
Kumpulan yang sudah boleh dianggap legenda dalam persada muzik thrash metal peringkat antarabangsa ini mempunyai peminat yang bukan kepalang walau di mana-mana juga.
Hakikat itu dapat dilihat apabila album Death Magnetic yang mula dipasarkan tahun lalu oleh Universal Music berjaya dijual lebih 20,000 unit di negara ini.
Persembahan Metallica pada malam itu dimulakan dengan membawakan lagu-lagu terbaru mereka yang berjudul That Was Just Your Life dan The End of the Line.
Metallica seakan-akan faham bahawa lagu-lagu lama mereka tidak pernah jemu didengar dan ia juga mampu menceriakan setiap konsert yang mereka jayakan di seluruh dunia.
Sebab itu, tidak hairanlah mereka kemudiannya menyambung persembahan dengan lagu berjudul Harvester of Sorrow, ...And Justice For All dan sebuah lagu perlahan berjudul One yang dipetik daripada album ...And Justice For All.
Para peminat terutamanya peminat lama Metallica juga terpegun apabila mereka tampil mempersembahkan lagu-lagu lama seperti Fight Fire With Fire yang diambil daripada album Ride The Lightning dan Master of Puppets (Master of Puppets).
Lagu-lagu lain yang turut dipersembahkan pada malam itu berjudul Broken Beat and Scarred, My Apocalypse, The Outlaw True, The Judas Kiss, The Day That Never Comes dan Overkill.
Mereka terus mengimbau nostalgia para peminat lama menerusi lagu berjudul Nothing Else Matters dan Enter Sandman yang dipetik daripada album Metallica.
Selain Metallica, kumpulan Machine Head dan The Swords telah diundang sebagai kumpulan pembuka tirai persembahan pada malam itu.
Persembahan mereka diakhiri dengan lagu berjudul Hit The Light dan Seek And Destroy yang dipetik daripada album Kill 'Em All sambil dinyanyikan bersama-sama oleh para penonton.
Puluhan belon besar berwarna hitam berlogokan Metallica yang digugurkan dari atas pentas merupakan kemuncak konsert itu yang ternyata memberi senyuman kepuasan kepada para peminat setia mereka.

ends

No comments:

Post a Comment