Tuesday, 4 February 2014



With Travis Clark of WE THE KINGS - June 2012, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, MALAYSIA.

JARANG berlaku artis berkumpulan antarabangsa yang datang ke negara ini dan mengadakan konsert cuma selama 30 minit. Sesuatu yang mengejutkan juga apabila kumpulan yang menjadi artis pembuka tirai pula mengadakan persembahan lebih lama.

Namun, itulah yang berlaku sewaktu kumpulan pop punk, We The Kings mengadakan persembahan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini. Kumpulan dari Bradenton, Florida, Amerika Syarikat (AS) itu mengadakan persembahan selama setengah jam sahaja.

We The Kings yang dianggotai oleh Travis Clark selaku penyanyi dan gitaris, Hunter Thomsen (gitar), Danny Duncan (dram), Charles Trippy (bass) dan Coley O’Toole (piano) muncul di pentas pada pukul 11.40 dan menamatkan persembahan mereka pukul 12.10 malam.

Menurut Travis mereka sengaja memendekkan persembahan pada malam itu bagi memberi peluang para peminat bertemu dengan mereka selepas konsert tersebut. Ternyata We The Kings mengotakan kata-kata mereka biarpun acara itu berlarutan sehingga awal dinihari.

“Kami harap anda semua terhibur dengan lagu-lagu yang kami persembahkan pada malam ini. Apabila persembahan ini dipendekkan maka lebih cepat kami dapat berjumpa anda dengan lebih dekat lagi. Kami ada hadiah untuk anda semua," katanya pada konsert tersebut.

Pada malam itu, We The Kings sepatutnya menyampaikan 13 buah lagu tetapi ia dipendekkan menjadi lapan buah lagu. Kebanyakkan lagu yang dipersembahkan di hadapan kira-kira 500 peminat terdiri daripada lagu-lagu popular kumpulan yang ditubuhkan pada 2005 itu.

Lapan lagu yang disampaikan oleh Travis itu berjudul She Takes Me High, Skyway Avenue, Secret Valentine, We’ll Be A Dream, Heaven Can Wait, Say You Like Me, The Middle dan lagu paling popular mereka, Check Yes Juliet yang dinyanyikan bersama-sama para penonton.

Meskipun cuma sebuah persembahan yang singkat tetapi kebanyakan penonton yang berusia bawah 25 tahun dan berbilang bangsa teruja apabila mereka dilihat menyanyikan hampir kesemua lagu yang dinyanyikan oleh Travis sehingga menenggelamkan vokalnya.

Banyak lagu popular We The Kings seperti Friday Is Forever, What You Do To Me, Kiss Me Last, Every Single Dollar dan All Again For You yang sepatutnya dipersembahkan pada malam itu ditiadakan kerana mereka mahu mengadakan acara sesi bertemu peminat itu.

Pada sesi itu, We The Kings yang pernah dicalonkan menerusi kategori Artis Baru Terbaik pada Anugerah MTV Video pada tahun 2008 memberi kira-kira 20 cakera padat album ketiga mereka berjudul Sunshine State of Mind yang mereka tandatangani kepada peminat bertuah.

Pada masa sama, pentas sunyi sepi selama hampir sejam sebelum We The Kings muncul di atas pentas kerana masalah teknikal. Faktor itu mungkin menjadi salah satu sebab mengapa mereka terpaksa memendekkan durasi persembahan pada malam itu.

Konsert itu turut dijayakan oleh sebuah kumpulan pop punk dari Poughkeepsie, New York, AS yang dikenali sebagai We Are In The Crowd tampil mengadakan persembahan selama hampir sejam dengan membawakan 11 buah lagu popular mereka sebelum kemunculan We The Kings.

Selain dua kumpulan dari AS itu, tiga kumpulan tempatan iaitu Bunkface, Kyoto Protocol dan Oh Chenta Ku menjadi artis jemputan pada konsert anjuran Talent Harvest Agency yang bermula pukul 8 malam dan mengenakan tiket-tiket berharga RM68 dan RM248.

ends

No comments:

Post a Comment