SOULFLY Live in Malaysia 2012..
DUNIA muzik di Malaysia semakin meriah sejak akhir-akhir ini.
Sebabnya, banyak kumpulan pemuzik dariluar negara yang mengadakan
konsert termasuklah yang berskala besar daripada pelbagai genre muzik seperti pop sehinggalah metal yang menggegarkan gegendang telinga.
Antaranya festival Rock The World yang telah lebih 10 kali dianjurkan di sekitar Kuala Lumpur. Ini antara festival yang menampilkan banyak pemuzik indie tempatan dan juga antarabangsa. Terbaru ialah festival Rockaway di Sepang, Selangor pada 20 Oktober ini.
Pada festival kali ketiga itu, antara kumpulan terkenal dari luar negara yang akan mengadakan persembahan ialah Soulfly, MXPX, Unearth dan Set Your Goal selain lebih 10 lagi kumpulan rock tempatan dengan tiket-tiket berharga daripada RM138 dan RM178.
Pada tarikh yang sama, turut dianjurkan Malaysia Rock Fest 2012 yang bakal berlangsung di Bukit Kiara, Kuala Lumpur dengan membariskan kumpulan Rusty Blade, Lefthanded, Wings, MAY dan XPDC. Festival dari pukul 6 petang hingga 12 malam itu mengenakan tiket berharga RM88.
Itu tidak termasuk genre-genre muzik lain seperti reggae yang juga tidak mahu ketinggalan. Pada 25 Ogos lalu misalnya, One Love Reggae Festival telah diadakan buat kali kedua di Petaling Jaya dengan menampilkan lebih 20 kumpulan reggae tempatan dan antarabangsa yang berlangsung selama 12 jam tanpa henti.
Pendek kata negara ini memang meriah dengan penganjuran pelbagai festival seperti itu. Kemeriahan paling ketara apabila semakin ramai pemuzik luar negara yang muncul pada festival-festival itu telah menjadi daya penarik buat para peminat tempatan.
Secara tidak langsung, ia boleh menjadikan Malaysia sebagai salah satu tempat persinggahan banyak penyanyi dan pemuzik antarabangsa yang kebanyakannya dalam rangka konsert bergerak di rantau Asia Pasifik terutamanya di Australia, New Zealand, Indonesia dan Singapura.
Namun, kemunculan festival-festival itu pula dilihat seakan-akan tidak boleh pergi jauh. Malah, ada juga yang kata festival yang ada kebanyakannya setakat bertaraf festival kampung sahaja. Paling sedih apabila ia macam iklan biskut kering di televisyen yang sekejap ada dan sekejap hilang.
Festival-festival yang dianjurkan itu sepatutnya perlu konsisten daripada segi penganjurannya pada setiap tahun. Pada masa sama, ia juga sepatutnya boleh dijadikan satu jenama yang semakin popular dan membesar seperti gergasi dari setahun ke setahun penganjurannya.
Penganjuran festival yang secara konsisten bukan sahaja akan memberi kepercayaan kepada para peminat tetapi juga para penyanyi dan pemuzik dari luar negara untuk menyertai sesebuah festival itu. Penjenamaan sesebuah festival juga akan memberi imej yang baik untuk negara ini.
Negara tentunya akan mendapat banyak pendedahan daripada segi penganjuran festival dan teknologi-teknologi dalam bidang muzik yang turut di bawa masuk ke negara ini. Selain itu, negara juga mendapat banyak publisiti atas kunjungan ramai artis antarabangsa.
Pendekatan itu telah lama dilakukan oleh negara jiran, Singapura yang menjadi tumpuan utama ramai artis antarabangsa di rantau Asia Tenggara. Sokongan kerajaan negara itu banyak melonjakkan promosi sektor pelancongannya di luar negara dengan penganjuran pelbagai festival.
Selain itu, satu lagi aspek utama penganjuran festival di sini agar pihak penganjur tidak syok sendiri dalam mengetengahkan artis sama ada tempatan atau dari luar negara. Ada di kalangan artis yang ditampilkan lebih menjadi kegemaran peribadi pihak penganjur berbanding para peminat.
Pelbagai usaha boleh dilakukan, contohnya dengan mengadakan undian atau kaji selidik di laman sosial seperti Facebook bagi mengenal pasti penyanyi atau pemuzik mana yang menjadi pilihan ramai untuk diketengahkan pada masa depan.
Tanpa adanya perkiraan-perkiraan seperti itu, festival yang dianjurkan di negara ini tidak akan pergi ke mana. Festival-festival seperti itu juga hanya bersifat popular sementara. Malah, jauh sekali untuk mengangkat identiti dan nama negara di mata dunia.
Justeru, lebih baik menganjurkan festival seperti Rainforest Music Festival yang diadakan di Santubong, Sarawak. Meskipun tidak popular dalam persada muzik arus perdana, tetapi festival berteraskan muzik etnik tersebut sudah lama popular sehingga ke peringkat dunia kerana keunikan dan konsisten penganjurannya sejak lebih 10 tahun yang lalu.
No comments:
Post a Comment